Tuesday, June 30, 2009

..Kaitan solat dan perubahan tenaga alam

Artikel sumbangan dari Pn Asfarilah Yakob & Pn Norpah Ibrahim
dari mail yang diforwardkan oleh sahabat..

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi...

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem pengh adam an. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Keperluan dua lagi IPGM di Sarawak/Sabah...

STU - Sarawak Teachers Union.. telah memohon bagi tambahan dua lagi institut latihan guru di sarawak - sri aman dan sabah - lawas.., keperluan ini adalah untuk memberi ruang kepada lebih ramai lagi anak tempatan sarawak dan sabah dapat dilatih bagi tujuan keperluan guru2 di sarawak dan sabah.

Bagi saya memang betul KPM perlu melatih lebih ramai lagi warga sarawak dan sabah untuk mengisi kekosongan guru di rantau sebelah sini.. Ini juga sebenarnya akan dapat mengurangkan "pembaziran" kewangan dengan pelbagai jenis elaun tambahan untuk hanya semata2 menempatkan guru2 semenanjung ke sarawak dan juga sabah.. Pada masa yang masa, sarawak dan sabah tidak lebih hanya sebagai pusat transit sementara guru2 semenanjung sebelum balik ke semenanjung..

Realiti yang perlu difahami oleh kpm adalah "engagement" pendidikan yang benar2 berkesan adalah apabila warga tempatan sendiri yang mengajar persekitaran yang sama budaya dengan mereka, kajian yang pelbagai ini rasanya kurang diambilkira dalam penempatan soal guru.

Moga2 akan lebih ramai warga sarawak dan sabah dapat mengisi kekosongan dan keperluan guru di rantau sebelah ini......

Kisah motivasi 1 - Bersangka Baik kepada Allah SWT

Bersangka baiklah kepada Tuhan...
oleh :Azamin Amin
Tue Jun 30, 09 1:08:41 pm MYT
"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"

Saya tidak akan lupa kata-kata itu. Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.

Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar.

Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar. Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!

Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas.

Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.

"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.

Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.

Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.

Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan.

"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..

Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu.

"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak.

"Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)

Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.

Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku. Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!

Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.'

"Apa nak malu, janji saya maju. Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari.

Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'. Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah.

Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.

Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya.

Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak.

"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)

Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."

Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak.

Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan. (Kisah ini pernah diterbitkan di Harakah tiga tahun lalu, sebelum menjadi wartawan)

"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku."

Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan. Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.

Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu.

Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk. Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari!

Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya. Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00). Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.

Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar.

Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf.. Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi.

Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan...

Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.

"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.

Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?

Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni. Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.

Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang.

Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata. Biarlah...

Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.

"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155)

Tulisan sepicing ini ataupun coretan caca marba yang tidak seberapa ini saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Tuhan, Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya. -

Monday, June 29, 2009

Daulah Islamiyyah: Dulu Dan Sekarang

dari laman http://drmaza.com
Disiarkan pada Jun 28, 2009 dalam kategori Politik

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihanraya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihanraya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut.

Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara ‘clergy’ tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihanraya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, samada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai ‘Daulah Islamiyyah’ (Islamic State).

Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulamak membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatullah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa’id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi’ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinism: Pelik Dalam

Akidah dan Pendirian).

Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeinei seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apapun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah.

Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi s.a.w ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi s.a.w begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama.

Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain.

Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis ‘keluaran baru’ politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga ‘adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat ‘Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku”.

Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya.

Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahy munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama.
Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan ‘kerusi’ kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin.

Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.

Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanahair Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah ‘nation state’ atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri.

Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fekah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam.
Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam ertikata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.

Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggungjawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahy Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu.

Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan.

Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah.

Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah.
Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara.

Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk ‘daulat islamiyyah’ atau negara Islam!

Friday, June 26, 2009

..jiwa islami........

..............pada ketika akhirat menjadi keutamaan, dunia tidak ditinggalkan.., dituntutnya kita untuk berjuang di medan kehidupan membina kerjaya, keluarga dan membantu mana yang terdaya...

..............kebahagian dan tujuan dalam hidup takkan ketemu dengan laku yang mungkar.., nikmat kemungkaran hanya sedap diawal tapi resah dan gelisah di akhirnya..kenapa perlu kebahagiaan singkat jika kebahagiaan abadi menanti pada jalan hidup yang lurus dan terarah......

...seraut wajah riang, hati yang tenang dan hidup yang aman hanyakan terbina dengan iman dan taqwa.......

Wednesday, June 24, 2009

..Lemas di Belaga ..update

Selepas 3 malam berkampung di tepi kuala sungai belaga, akhirnya mayat allahyarham md.nizar ditemui awal pagi ini pada jam 615 pagi.... Allahyarham yang bertugas di SK Abun Matu telah lemas pada jam 615 petang Ahad..mayat allahyarham kini dalam proses dihantar pulang ke kampung asalnya di Negeri Sembilan....

Sebagai salah seorang warga pendidik di Abun Matu, saya amat terharu dengan kesungguhan pelbagai pihak dalam membantu operasi mencari mayat allahyarham sebaik sahaja allahyarham lemas. Kepada masyarakat belaga yang bukan sahaja banyak menyumbangkan pelbagai alatan malahan usaha tanpa kenal penat lelah sepanjang 3 malam operai mencari.., juga kepada pihak PPD Belaga yang amat prihatin, juga kepada Guru Besar - En. Jok Along, guru2 penolong kanan, rakan2 guru serta staf SK abun matu yang telah berkampung di tempat operasi..yang sanggup bersengkang mata, tidur berlangitkan bintang dan tanpa mempedulikan keletihan... rasa terharu dengan permaufakatan yang telah ditunjukkan... Cuma ada rasa sedih ngan ada wak dogol yang datang dari nun jauh yang cakap merapu entah apa2 dan bukannya datang untuk memahami keadaan..

Bagaimanapun apa yang amat terkilan adalah betapa kurangnya kemudahan peralatan yang terdapat di balai polis belaga untuk membantu usaha pencarian allahyarham. Dan apa yang lebih malang adalah kelambatan pihak bomba dan penyelamat dalam memberi response yang sewajarnya..hanya pada pagi selasa barulah kelihatan anggota bomba tiba di belaga, yang menyedihkan tiba dengan peralatan alat kadar - adalah lebih baik pihak bomba srwk menyediakan peralatan kecemasan kepada pasukan kecemasan kampung yang jauh lebih mahir daripada apa yang telah ditunjukkan oleh anggota bomba semalam....

Nasib guru semenanjung........................................!!!!!

Monday, June 22, 2009

Guru semenanjung mati lemas di belaga, srwk

Md. Nizar Zainudin yang bertukar ke belaga awal tahun ini telah didapati lemas di sungai belaga dalam jam 615 petang semalam.., gerakan mencari masih lagi dijalankan terutama oleh masyarakat tempatan yang cukup membantu sejak allahyarham didapati lemas petang semalam.. Pun begitu sesuatu yang amat mengecewakan kerana agensi2 kerajaan yang lain seperti polis dan bomba kelihatan terlalu amat pelahan dalam turut sama membantu dalam operasi yang sebahagian besarnya 99.9% dibantu oleh penduduk tempatan terutama pada malam pertama dan kedua. Kebanyakan peralatan yang digunakan semalam adalah disumbangkan oleh penduduk tempatan.. .. Sehingga 22 Jun.., mayat allahyarham masih belum ditemui.

Para warga pendidik di Belaga ketika ini sedang berkampung di kawasan kejadian terbabit dan turut membantu dalam operasi mencari dan kerja2 sokongan teknikal. Guru Besar, En. Jok Along dan guru2 penolong kanan turut sama membantu sejak dari petang semalam dan turut terbabit dalam operasi mencari

Allahyarham yang bersama 4 lagi rakan2 guru pada awalnya telah berkelah di kawasan tepi kuala sungai belaga. Allahyarham dikatakan tergelincir ke dalam sungai ketika membasuh kaki dan kemudiannya dibawa arus sungai yang deras sebelum tenggelam dalam sungai.., rakan2 guru yang turut sama tidak dapat membantu kerana air sungai yang deras dan berpusar terlalu amat berbahaya malahan dianggap penduduk tempatan sebagai "bukan kawasan selamat" untuk berkelah...

Allahyarham berasal dari Negeri Sembilan dan bertukar ke SK Abun Matu awal tahun ini. Dianggap guru yang cukup komited, berdedikasi dan peramah oleh rakan2 sekerja, murid2 dan masyarakat sekitar. kehilangan allahyarham amat dirasai. Smg rohnya dicucuri rahmat oleh Ilahi.

Friday, June 19, 2009

..bukan sekadar hALaL

..Realitinya.., berlaku di seluruh dunia dan malahan di negara kita sendiri betapa kesangsian sebenar cukup wujud samada produk makanan yang ada di negara kita benar2 menepati "halal" atau sekadar "halal" dilogo tapi "haram" isi kandungan....

Walaupun kita sibuk dengan pelbagai usaha murni dalam menjadikan Malaysia sebagai hub halal sedunia.., negara kita sebenarnya masih lagi berdepan dengan transperansi, ketelusan dan ketegasan dalam memastikan produk harian yang digunakan oleh pengguna muslim adalah halal.. yang menentukan halal haram bukannya pihak berkuasa tetapi para pedagang, pengilang dan tauke besar.....

Lantaran itu pilihan yang lebih baik untuk para pengguna muslim adalah beralih kepada produk halal oleh pengeluar muslim..Jom sama2 kita menggunakan barangan daripada pengeluar muslim

boikot CocaCola


Wednesday, June 17, 2009

subjek bahasa Inggeris - subjek yang wajib lulus SPM



Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan MalaysiaRabu, 17 Jun 2009
........................................................

Sekali lagi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjadi tumpuan apabila subjek bahasa Inggeris ingin dijadikan subjek yang wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini ada di antara pengumuman KPM yang meresahkan dan reaksi terhadapnya sudah boleh dijangka.


Andaian yang dibuat nampak mudah; dengan menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus, maka pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh bersungguh untuk meningkatkan penguasaan mereka di dalam bahasa Inggeris. Andaian ini hampir sama dengan andaian yang dibuat semasa kerajaan ingin melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), iaitu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran kedua-dua subjek tersebut, maka `akibat terpaksa’, pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kebolehan mereka menguasai kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.


Andaian ini masuk akal, jika mengambil kira faktor kesungguhan untuk menguasai bahasa Inggeris. Hakikatnya, ia adalah satu proses dan tidak berlaku dalam keadaan vakum. Ia memerlukan masa dedahan yang tinggi dan memerlukan banyak latihan.


Saya sendiri misalnya, sewaktu belajar dalam bidang Sains Farmasi di Universiti Sains Malaysia (USM), tidak pernah dipaksa untuk mengikuti kuliah, menulis tugasan, menyediakan laporan dan melakukan pembentangan dalam bahasa Inggeris. Membuat rujukan tambahan dalam bahasa Inggeris adalah pembaziran masa yang amat nyata kerana nota kuliah memang sudah sedia diterjemahkan dan semasa peperiksaan, semuanya perlu dijawab dalam bahasa Melayu.


Akibatnya, kemahiran berucap, menulis dan mendengar tidak dilatih dan ditajamkan. Hasilnya sudah boleh diagak – seorang graduan yang tidak boleh bercakap, menulis, mendengar dan berhujah dalam bahasa Inggeris dengan baik, lebih-lebih lagi dalam bahasa Inggeris saintifik dan teknikal.


Bagaimanakah pasaran boleh mengharapkan saya mampu menguasainya dalam bahasa Inggeris sedangkan bertahun-tahun saya dilatih dalam bahasa Melayu?Berbanding dengan pelajar yang mengikuti kursus yang sama di luar negara, seperti United Kingdom dan Australia, mereka tidak mempunyai pilihan. Persekitarannya dipenuhi dengan penutur bahasa tersebut, malah tidak ada bantuan sari kata di television. Mahu tak mahu, pelajar perlu meningkatkan kemahiran mendengar, menulis dan bercakap.


Malangnya di Malaysia, ia tidak dibenarkan berlaku begitu. Sayangkan anak, tangan-tangankan, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, alah bisa tegal biasa dan bagaimana hendak mendapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya hanya peribahasa lapuk yang tidak relevan. Itu yang berlaku dengan PPSMI.Menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM mengambil acuan ('template’) yang hampir sama dengan PPSMI, melainkan ketiadaan sentimen penentangan bahasa Melayu dan bahasa ibunda serta pendokong sekolah-sekolah vernakular.


Kerisauan masyarakat dan ahli akademik masih berkisar pada bidang yang sama – kesediaan pelajar luar bandar, kesediaan dan keupayaan guru, jumlah guru terlatih dan mahir, kekurangan guru, infrastruktur sekolah-sekolah di luar bandar dan bahan-bahan P&P.Ketika ini hampir 130,000 (30 peratus) gagal setiap tahun.


Saya percaya melatih guru akan mengambil masa jika mengambil kira kapasiti Institut Pendidikan Guru dan Institut Pengajian Tinggi setiap tahun. Mengambil guru dan penutur jati dari luar negara mempunyai isunya yang tersendiri seperti kos emolumen yang tinggi, kualiti guru dan pengaliran wang tunai yang banyak ke luar negara. Malah pengambilan guru bersara secara kontrak juga memakan masa yang begitu lama akibat kerenah birokrasi yang merimaskan!


Sepatutnya komitmen kerajaan dan langkah-langkah yang kukuh serta meyakinkan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris semakin lemah dalam kalangan pelajar, biarpun selepas berbelas tahun mempelajarinya lebih wajar dijadikan pengumuman oleh KPM berbanding `hukuman’ terhadap mereka yang gagal menguasainya akibat prasyarat yang tidak mencukupi.Dalam kes PPSMI, saya tidak begitu peduli akan keputusan kerajaan, tetapi biarlah sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM berasas, rasional dan atas sebab pendidikan, bukan dibuat berasaskan emosi, hujah-hujah yang lemah dan manipulasi kajian.


Dalam kes bahasa Inggeris wajib, bagi saya, jika sudah diketahui acuannya hampir sama dengan PPSMI, kenapa perlu kita melalui `kesengsaraan’ yang sama?

...bersama ke arah Satu Malaysia....

...kekadang terfikir apa yang salahnya dengan konsep Satu Malaysia.., bagi pakatan pembangkang, satu malaysia dianggap sebagai retorik malahan menyamai konsep malaysian malaysia oleh DAP...

satu malaysia merupakan satu konsep yang wajar untuk kita membangunkan semula negara ini dalam satu gagasan kebersamaan sebagai satu rakyat malaysia yang bertanggungjawab.., satu konsep, idea yang saya anggap cukup bernas untuk menyemai rasa perpaduan dan cintakan tanahair di kalangan rakyat terutama sekali generasi muda...

moga2 kita semua akan hidup sebagai satu jiwa bangsa malaysia yang satu dalam kepelbagaian budaya, bangsa dan agama....

Tuesday, June 16, 2009

kerajaan perpaduan, chin peng, sisters in Islam

Belum jelas bagaimana bentuk dan corak kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abd. Hadi Awang.., isu yang terpenting dan yang terutama adakah mampu untuk umno dan pas kembali menjalinkan kerjasama jika ditinjau dari rekod2 sejarah yang lalu dan yang kini....


Yang menyokong berpendapat adalah penting untuk ummah Melayu di negara ini bersatu dan berpadu bagi memastikan survival bangsa melayau dan agama Islam terbela khususnya dalam menangani cabaran semasa

Yang menentang pula terutama dari kalangan bn mahupun pr ada pelbagai.., yang bn kata pas hanya buat gimik dan politik murahan.., yang dalam pas yang menentang pula kerana pas hanya akan menjadi kuli dan pengubat kepada umno pada saat umno kelihatan kian ditolak oleh golongan muda

Yang tak kisah dan tak ambil pot pula beranggapan bahawa in politic..everything possible.., just leave it to politician but during election.., para politician akan mendapat ruang pengadilan atas tindakan mereka selama menjadi wakil.....

Bagi saya.., jika Islam itu menjadi teras utama perjuangan Pas, apa jua pintu perdamaian dan dakwah haruslah digerakkan, tidakkah dakwah itu bukan hanya untuk "golongan kita" tapi juga untuk "golongan mereka"...

...............................................................................................................................................................

Chin Peng - perjanjian damai hatyai telahpun ditandatangani dulu seingat saya dalam tahun 1988.., juga terdapat terma di dalam perjanjian damai bahawa chin peng dibenarkan kembali maka, izinkanlan.., tapi sekiranya tiada terma terbabit, mengapa perlu diizinkan chin peng kembali, yang penting bertindak atas perjanjian yang terlah dibuat dan ditandatangani....

...............................................................................................................................................................

Sisters in Islam.....
Yang paling penting di negara kita terutama bagi golongan politician dan juga agamawan islam adalah untuk bersikap terbuka dan membuka ruang perbincangan serta memperbanyakkan forum bagi menanagani pergeseran pandangan.., bersifat menghukum dan bertindak melulu dalam keadaan di mana amalan Islam kelihatan cukup longgar dikalangan masyarakat hanya akan menyemaikan lagi rasa islamphobia di kalangan pelbagai lapisan masyarakat... pada ketika kita harus berpegang teguh pada prinsip.., kita juga mestilah mengamalkan keterbukaan dalam menangani perbezaan....

...ppsmi....

....secara peribadi saya menyokong pelaksanaan ppsmi, apa yang terpenting adalah bagaimana guru melaksanakan kaedah pengajaran agar mampu memberi kefahaman kepada pelajar...

..pun begitu disebalik pelbagai desakan yang dikemukan oleh pelbagai pihak, NGOs dan badan politik yang risaukan tentang kemunduran bahasa Melayu, isu sebenar yang seharusnya ditekankan adalah kualiti dalam pencapaian ppsmi khususnya yang melibatkan matapelajaran Bahasa Inggeris, Mathematics dan Science....

Sebenarnya inilah isu yang harus digerakkan terhadap ppsmi dalam sistem pendidikan kita.., apalah ertinya peningkatan kadar A dalam pencapaian pelajar jika kualiti soalan adalah terlalu rendah standardnya manakala markah minimun untuk lulus adalah terlalu minimun, jika 25 markah sudah mencapai tahap lulus, apalagi tahap kelulusan A.. lantaran itu pencapaian A di kalangan pelajar sudah menjadi semacam tiada erti yang besar... Adakah pencapaian A di malaysia adalah sama dengan A di Singapura?? Emm yang pasti, selepas pelaksanaan ppsmi, standard soalan yang dikemukakan dalam sistem kita sudah "direndahkan" bagi membolehkan ppsmi ditinggikan gred kejayaannya.....

dan sehingga kini kertas soalan peperiksaan masih lagi dalam bentuk dwi-bahasa, kejayaan pelaksanaan sebenar ppsmi hanya akan benar2 terjawab jika soalan adalah 100% dalam bahasa Inggeris dan jawapan pelajar juga mestilah 100% dalam bahasa Inggeris.., sehingga kedua2 perkara ini tidak dilaksanakan.., kita hanya "berjaya dalam mimpi" dalam pelaksanaan ppsmi... Jadi cadangan saya, make it a total english language implementation... in our national examination..., kalau dikatakan berjaya,, kenapa takut????


Free Blogspot Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Dresses. Powered by Blogger